Saturday 12 July 2008

Wanita dan Kewangan

posted by ASG


Dalam satu laporan pada tahun 2005 daripada Pusat Kawalan Penyakit, secara purata wanita hidup 5.3 tahun lebih lama daripada lelaki. Oleh sebab jangka usia wanita lebih lama, mereka mempunyai keperluan yang lebih tinggi daripada lelaki untuk mendapatkan lebih banyak wang selepas tempoh persaraan.


Langkah bijak yang paling mudah untuk dilakukan oleh kaum wanita ialah dengan memulakan langkah menabung sejak awal dan melabur lebih banyak wang secara agresif. Lebih cepat kita bermula, lebih kuranglah jumlah wang yang diperlukan secara keseluruhan memandangkan dana tersebut akan mempunyai lebih masa untuk digandakan.


Wanita muda juga akan memperoleh lebih banyak kebaikan dengan membeli insurans nyawa lebih awal memandangkan insurans nyawa biasanya melibatkan kos yang lebih rendah pada usia yang lebih muda. Insurans nyawa juga merupakan antara perkara yang tersangat bermanfaat untuk wanita tanpa mengira usia. Wanita yang tidak terpilih untuk menerima pelan pembiayaan daripada syarikat yang disebabkan oleh pemberhentian kerja atau kontrak jangka pendek dengan majikan seharusnya mencuba pilihan ini. Selain menyediakan faedah kepada waris yang masih hidup, orang yang menginsuranskan dirinya adakalanya juga boleh membuat pinjaman daripada sesuatu polisi bagi merealisasikan impiannya seperti membiayai pengajian anak-anak atau memulakan perniagaan.


Antara langkah-langkah lain yang boleh diambil oleh golongan wanita bagi mencapai kewangan mandiri termasuklah:

· Menetapkan matlamat yang jelas. Mungkin ia adalah sebuah rumah impian di tepi tasik atau kondo yang selesa di tengah kota, apa sahaja target yang jelas akan memberikan anda sesuatu yang nyata dan realistik untuk dicapai dan akan lebih mudah menilai usaha yang perlu dibuat bagi mencapai objektif tersebut.

· Memeriksa kedudukan kewangan anda. Perhatikanlah kewangan anda secara kritikal, terutamanya yang melibatkan matlamat hidup anda. Timbangkanlah untuk meminta nasihat daripada orang yang yang sesuai dalam membuat pengiraan kondisi anda sekarang. Ambil tahu apakah pelaburan yang telah anda miliki sekarang dan berapakah jumlah nilaian pelaburan anda.

· Mengekalkan tahap kredit yang baik. Hutang kad kredit telah menghalang ramai manusia daripada mencapai target jumlah wang simpanan mereka.

· Memiliki satu portfolio yang jelas. Pelabur patut memulakan langkah mengumpul maklumat kewangan dan mula menabung. Bahkan sekecil-kecil jumlah wang simpanan mampu untuk membina masa hadapan yang lebih stabil dan kekayaan.

· Insuranskan pendapatan anda. Insurans kesihatan, auto, dan penyewa atau pemilik rumah semuanya penting dan perlu namun timbangkanlah juga insurans keilatan. Jika anda adalah penyara keluarga, fikirkan apa yang akan terjadi jika anda tidak lagi mampu memperoleh pendapatan.

· Menyumbang kepada jenis alat simpanan yang lain. Anda boleh menggunakan strategi simpanan yang ada seperti insurans nyawa, akaun simpanan, CD, bon dan anuiti.

· Memilih khidmat perunding yang dipercayai. Mintalah pendapat daripada beberapa orang yang berbeza dan ingat bahawa nasihat kewangan yang baik memerlukan masa dan kesabaran untuk meneliti segala peluang yang ada dan membina tahap kepercayaan yang membawa kepada keputusan yang baik.


Untuk kedua-dua golongan lelaki dan wanita, adalah berbaloi untuk mempunyai wawasan yang jelas dalam masa hadapan kewangan masing-masing. Ini merangkumi fokus yang lebih baik, mengurangkan tekanan pada hari ini dan hari esok yang lebih selesa dan terjamin.

No comments: